LATAR BELAKANG

PENDAHULUAN

Mata pelajaran Kemahiran Hidup Bersepadu adalah satu mata pelajaran teras berunsurkan teknologi di Tingkatan 1 hingga 3.  Mata pelajaran ini digubal berlandaskan kepada Falsafah Pendidikan Kebangsaan.  Ia dirancang untuk meningkatkan lagi daya pengeluaran negara melalui penglibatan masyarakat dan tenaga kerja secara produktif berlandaskan teknologi sejajar dengan dasar dan keperluan negara.
Mata pelajaran ini merupakan sebahagian usaha pendidikan ke arah mempertingkatkan kemahiran teknologi dan keusahawanan.  Mata pelajaran ini membekalkan kemahiran yang berguna dan berfungsi agar murid boleh bertindak dan mengendalikan kehidupan harian secara produktif dalam dunia teknologi dan industri yang kompleks dan sentiasa berubah.  Murid dipupuk sikap yang positif seperti menghargai kerja yang berkualiti tinggi, berinovasi dalam pembinaan projek, penuh yakindan berdikari dalam daya usaha.  Aktiviti yang diberi tumpuan adalah bercorak kerja-buat-sendiri yang mudah berkaitan dengan pemasangan, pembinaan, baik pulih dan penyenggaraan.  Di samping itu masakan, jahitan, tanaman, ternakan, pengurusan akaun dan perniagaan turut diberi tumpuan. 

Nilai murni, sikap yang positif dan budaya kerja yang baik diterapkan semasa menjalankan aktiviti amali agar kesepaduan dalam mata pelajaran ini dapat diwujudkan.

MATLAMAT

Matlamat mata pelajaran Kemahiran Hidup Bersepadu adalah untuk melahirkan insan yang berdikari, kenal faham teknologi dan ekonomi serta kreatif, berinisiatif dan yakin diri dalam keadaan yang sentiasa berubah untuk kehidupan harian.


OBJEKTIF

Kurikulum Kemahiran Hidup Bersepadu adalah untuk membolehkan murid:

  1. Mengamalkan daya usaha, kreatif dan inovatif dalam merekabentuk dan menghasilkan produk daripada pelbagai bahan seperti kayu, papan lapis dan bahan komposit.
  2. Mengamalkan sikap peka terhadap masalah sekeliling dan mendapatkan idea dari pelbagai sumber untuk merekabentuk dan menghasilkan produk.
  3. Menjalankan kerja-buat-sendiri, menyenggara dan membaik pulik mudah kerja elektrik dan paip dalam kehidupan harian.
  4. Menghasilkan artikel mudah dengan menggunakan mesin jahit.
  5. Menghasilkan tumbuhan hiasan untuk keceriaan kawasan tertentu
  6. Memilih alatan, perkakas dan bahan serta menggunakannya dengan teknik yang betul.
  7. Mengenal pasti kepentingan perniagaan, perkembangannya pada masa depan yang berciri k-ekonomi dan perniagaan dalam negeri dan antarabangsa.
  8. Mengenal pasti cabaran dan kejayaan usahawan serta menilai potensi diri dalam bidang keusahawanan.
  9. Menerangkan faktor utama dalam pengeluaran, kaitannya dengan permintaan dan proses pengeluaran serta membuat pengiraan kos.
  10. Mengumpul, memproses dan mendokumentasikan makluma secara bersistem dan menggunakannya dengan bijak dalam membuat keputusan rekaan dan penghasilan projek.
  11. Mengamalkan peraturan dan budaya kerja yang baik dan selamat.


ORGANISASI KANDUNGAN

Kandungan mata pelajaran ini diolah mengikut bidang pembelajaran yang mengandungi beberapa unit pengajaran.  Unit pembelajaran ini dihuraikan dalam bentuk tajuk atau aktiviti.

Mata pelajaran ini terbahagi kepada dua bahagian iaitu Teras dan Pilihan.  Bahagian Teras mengandungi satu bidang pembelajaran iaitu Reka Bentuk dan Teknologi.  Manakala Bahagian Pilihan mengandungi empat bidang pembelajaran iaitu Kemahiran Teknikal, Ekonomi Rumah Tangga, Pertanian dan Perdagangan dan Keusahawanan.  Murid dikehendaki mempelajari semua tajuk dan aktiviti pembelajaran dalam Bahagian Teras dan mengambil salah satu daripada empat bidang pembelajaran dalam Bahagian Pilihan.

No comments:

Post a Comment